Monday, February 22, 2010

...6


Sepasang air matanya menitik.

Skrin komputer kelihatan berbalam-balam. Hiruk pikuk teman serumah kedengaran semakin menghalus. Julia semakin tenggelam ke dunia yang lain.

Tangan halus yang sedang memetik papan kekunci pernah sekali singgah di pipi seorang lelaki. Tangan kecil itu terasa amat ringan tetapi bertenaga, melayang terus ke pipi dia. Johan tidak memberi respon, seakan merelakan tindakan luar dugaan wanita itu untuk yang ke dua kali. Namun sebaliknya, Julia berpaling, melangkah serta menjauh, kelihatan gagah. Langkahnya gagah.

"Kita putuskan saja." Ringan lidah Johan bertutur, ringan itulah juga tangan kecil Julia.

7 tahun. 7 tahun yang bahagia. Sehari sebelum hari hitam itu hati Julia sesak dengan bunga, diracuni haruman rindu. Keterujaan rindu itu menerjah petala. Empat tahun tidak bersua, dipisahkan benua dan lautan pasifik. Lalu pertemuan pertama Julia diterjah dengan sepotong ayat ringkas.

Patah ayat keramat lelaki itu teramat ganjil. Kenapa? Kerana apa? Janganlah alasan tidak ada jodoh diomokkan pada saat musim bahagia ini. Segala persiapan ke persada pelamin sudah siap segala, lalu tiba-tiba sepotong ayat berbentuk pedang menghancurkan semua.

Bila ayah tanya, Jawapannya amat jujur tidak berlapik; Han sudah ada isteri di sana.

Kenapa Johan perlu begitu. Hati Julia ditikam dua kali.

Sepasang lagi air matanya tumpah. Dan sepasang lagi. Sepasang lagi. Lalu menjadi juraian-juraian gugur ke permukaan meja.

Laporan yang hampir siap dibiarkan terpampang di dada skrin. Longlai Julia merebahkan diri ke katil bujang. Umur menghampiri 30, bayang Johan tidak padam-padam, puas ditimbus tidak juga terbenam. Johan seperti tidak merelakan lelaki lain menyentuh 'perempuannya'. Julia benci Johan . Tujuh tahun itu cinta pertamanya. Tulah cinta pertama amat berbisa. Ah, Johan meninggalkan saka di hati rapuh Julia. Tuhan...tolong Julia...Tuhan...tolong Julia... Julia merintih kepada DIA...dalam deru air mata, lena Julia akhirnya, lena kerana keletihan berperang dengan nafsu perasaan.

Tuhan, kasihanilah Hamidi.





No comments:

Post a Comment