Wednesday, October 26, 2022

Cucu Tuan Rumah


"Lari! Lari!." Suara Libas sayup kedengaran. Libas sekejap tadi keluar dari daerah Jamban, cergas seperti biasa. Rutinnya ke Kampung Tong, mukim di mana anak cucunya bermastautin. selalunya bila merayap ke sana, dua tiga hari juga dia menetap. Namun peliknya tidak hari ini.
Labin yang sedang bermain dengan anak-anak, tercengang. Dalam hatinya mula bergelora, memikirkan yang bukan-bukan. Tidak sempat dia keluar menjenguk muka, Lidan menerpa.
"Libas...Libas... Libas sudah mati!" Lidan tercungap-cungap mencari nafas sendiri.
"Kenapa Lidan." Gugur jantungnya mendengar berita dari Lidan. "Lidan..."
"Lari..lari... Cucu tuan rumah me..." Lidan juga selepas itu keras terbelalak, menggelupur tiba-tiba. Tidak sempat menghabiskan ayatnya. Selang beberapa saat dia juga meninggal bersaksikan Labin anak beranak.
Meraunglah anak beranak Labin. Bergema lorong dan lohong. Bertempiaran tidak ketahuan hala tuju, dari keluarga Labin yang seperti dirasuk, penduduk mukim Jamban Tengah mula panik.
"Arghhhh!" Tiba-tiba menggeliat menggeletis pasangan Napil. "Gas apakah ini? ...." Seketika kemudian pasangan Napil juga kaku tidak bergerak, dengan berpasang kaki mereka kejung ke atas,
Sudah. Malapetaka yang jarang berlaku. Bertempiaran mereka lari ..hingga tersadung kepala saudara yang tertanggal, kaki yang terkulai patah riuk. Anak-anak kecil menjerit kesakitan, lemah dan semakin lemah lalu senyap tidak bernyawa lagi.
Labin terkapai-kapai, anak-anaknya di mana? Lakinya di mana? Mukim Jamban menjadi tidak aman sekelip mata. Labin bersembunyi dalam resah di balik tiang usang sebuah almari.
Haru-biru Daerah Jamban tiba-tiba reda seketika setelah suatu suara bingit bergema. "IMAAAAAMMM! Habis ridsect tokmek tu Imam. Kuat lah main sembur sembur. Sekor lipas tak payah lah sampai separuh botol. Tandas tu bau ridsect kuat sangat."
"Mami tengok mami, Imam sembur sini ja. Tengok ada lipan dua ekor pun mati juga. dari mana lipan tu Mami." Suara si pengganas itu walau dengarnya manja tapi tidak bagi mereka.
Labin terjelepuk lemah, itulah suara cucu tuan rumah yng naik hantu main penyembur Fumakilla di hari cuti Deepavali. Cucu yang nombor dua ini, kenapa tidak mahu diam elok-elok seperti abangnya? Arghhhh...




Tuesday, October 11, 2022

Bab 2: Merpati Kota Bharu

 


“Kelabu saja ni.” Tanda pada teks yang dihantar melalui whatsapp tidak bertukar warna, telefon juga tak berangkat. “Bertuah Siti Nabilah. Betul-betul cuti budak ni.”

    Nabilah membaca sepintas lalu teks yang masuk, pesanan pada whatsappnya sudah diset untuk kekal bertanda kelabu. Sudah lama dia rancang untuk ke daerah Jeli, menginap di salah sebuah rumah tumpangan sebelum bertolak ke Kem Baha. Terbayang sudah permaidani awan yang berkepul-kepul menghampar puncak Stong. Bukan senang untuk merakam momen lantai awan, masa perlu diatur secermatnya, cuaca juga moga-moga sedang eloknya.

-Mek, mung jangan la. Esok pagi tu aku minta tolong semeta jah.

Pagi dia tu dinihari. Orang kalut solat Subuh masa tu.

-Mek wei, aku cover tugas mun sini esok sebab mun gelenyar nak cuti. Kalau ikut jadual asal, aku la yang kena turun Sabok.

Nabilah baca lagi. Kasihan pun ada. ‘Tapi aku dah setahun tak cuti ni. Gelenyar dia bagi aku.’

“Kakak! Teman mok kejap.”

“Ke mana mok?” Nabilah meninggalkan telefonnya, bangun mencari suara ibu.

“Kita gi cari ikan segar, mok nak buat laksa.”

Tiket keretapi siap terselit dalam buku catatannya. Faezah dan Norzi bukan main seronok bila tahu kawan yang merempat di stor basah Yee telah selamat keluar dari medan pertapaan. “Gigih betul Yee simpan kau, macam nak ikat jodoh.” Gema suara nakal Faezah masih melekat dalam kepala. Nak ikat jodoh apa, skop kerja ibarat untuk lima orang, atas bahunya belaka. Pantau Gudang, ke jeti semak gred tangkapan, jaga stok pelanggan, ada masa terpaksa jadi juruteknik baiki itu ini.

Mana boleh batalkan rancangan meraka bertiga. Mana aci. Tak boleh, harus ke Jeli.

 

 

Monday, October 10, 2022

PERIHAL Merpati Kota Bharu


 Perihal Merpati Kota Bharu


Setelah Simfoni Bayu Semalam (SBS) berada di pasaran, saya mula menyusun plot untuk Merpati Kota Bharu. Masih dalam perkiraan samada mahu menamatkan Merpati Kota Bharu sebagai sebuah novel ataupun sekadar memenuhi koleksi antalogi cerita pendek. 


Merpati Kota Bharu (MKB) adalah hasil ilham berdasarkan pengalaman seorang pemuda Cina Kelantan yang saya anggap sebagai seorang adik yang baik dan rapat. Pertemuan dengan adik ini sungguh dalam aturan Tuhan, hati baiknya itu menemukan dia dengan ibu saya, suami dan anak-anak. Cerita dalam kisah MKB adalah banyak berkisar pengalamannya dengan sedikit olahan. 


Merpati sinonim dengan sifatnya yang sangat setia pada pasangan begitulah adik yang saya kenali. Pertama kali hatinya diusik oleh seorang wanita melayu muslim, seorang ibu tunggal yang penuh liku hidup. 


Dalam MKB, saya mahu abadikan kenangannya, di mana tiap kali diuji kepada saya dia luahkan. Enam tahun lalu saya bertemu, seorang pemuda persis merpati, yang terluka dan terus menyendiri dalam melakar kejayaan peribadi . 


Moga diizinkan Allah, untuk sebuah lagi naskah yang bakal menjadi memori.

Sunday, October 9, 2022

The season

 The season 


The thick grey clouds

Folded 

Layer by layer

Lazily pass across our rusty roof


Yet the sun shines

Softly touches my aging skin


Gently the monsoon wind blows

Bringing

The smells of grasses and the leaves

The roses and the gardenia

The torenia and the jasmines 

The bougenvillas and the reullias


The downpours melting with 

the mixed soils

That I yesterday used them 

To nurse the pendas

and the callisia fragrance


Woah,

And the 10 o clocks flowers

Still sleeping at 11!


And the season in November

Is the season I love the most :)


Zaharaini MG