Tuesday, August 15, 2023

Bahasa cinta

 Bahasa cinta adalah bahasa yang tidak berhuruf dan kata. Bahasa cinta adalah tanda dan makna. Bahasa cinta adalah bahasa jiwa. Kau mampu rasa dan hidup di dalamnya.


Kau tidak akan mengeluh dan menagih kalimat yang bersuara, jika cinta mampu kau damba dalam secangkir kopi dia, renung matanya dan runtun jiwanya.


Cinta, tidak perlu kau laung dari puncak Kinabalu sebagai tanda patri janji setiamu

Sunday, April 23, 2023

MATI

 MATI

Bagaimana perasaan Along menghimbau detik kematian yang tidak bertarikh. Adakah mati itu satu makhluk yang dapat dirasa? Rasa, ada yang terpendam, ada yang terluah.
Aku rasa tak sedap badan lah.
Aku rasa tak sedap hati lah.
Aku rasa dia demam.
Sebelum Along pergi, Along tanpa sedar meluahkan rasa. ‘Along rasa dah tak lama.’ Rasa.
Jika lidah itu alat merasa pahit, manis, tawar dan masin, adakah hati alat merasa mati?
Dalam sekitar tarikh kematiannya, Along berbual-bual ringan. Katanya malam tadi ada beberapa orang datang ziarah. Ada dalam dua tiga orang berkopiah. Sedangkan malam itu rumah mereka tidak dikunjungi tetamu. “Mereka kata kawan Along.”

ATAU

Adakah mati yang dikatakan tiba-tiba itu, hanya tiba-tiba?
Lalu aku teringat Mok Wea. Bagaimana agaknya Mok Wea rasa ketika Izrail berkunjung? Adakah Mok Wea melihat Izrail, lalu menyapanya? Mok Wea pulang ke kampung asal pada pertengahan Ramadhan lalu. Sekitar tarikh Kembali, Mok Wea ada juga menyebut-nyebut akan kehadiran tetamu ghaib yang selalu berkunjung.
“Kamu nampak tak dekat pintu tu?” Mok Wea tanya anak perempuannya. “Itu, dari tadi lagi di sana. Pakai jubah putih, ada dalam dua tiga orang.”
‘Tetamu’ Mok Wea ramai, dan tidak berkunjung hanya sehari. Ada yang dari kalangan budak-budak katanya macam budak pondok. Kalau Mok Wea dekat ‘tetamu’ itu hilang.
Anak perempuan Mok Wea kata bukan sahaja malam, siang pun bertandang juga.
DAN , adakah mati yang dikatakan makhluk itu siap menyampaikan salam sebelum bertandang?
Kemudian, aku teringat akan adik lelaki tunggal yang dipanggil pulang pada umurnya manis enam belas. Sekitar waktu dijemput pergi, adik suka merenung dan termenung. Apakah yang direnungnya? Apakah adik punya rasa yang mati akan mengiringinya dalam suatu tempoh yang tidak dia ketahui? Panggilan telefon terakhir dari adik sungguh bersungguh-sungguh, bertanyakan aku bila mahu pulang berbuka puasa bersamanya.
Adakah mati itu sebenarnya berada dalam dimensi masa berbeza? Ketika nyawa ditarik bermula dari hujung kaki, apakah masa yang manusia catat saat minitnya berbeza dengan apa yang sebenarnya terjadi ketika itu?
MATI, makhluk yang dirahsiakan kemunculan oleh TUANnya. Hanya orang yang telah mati tahu apa itu hakikat mati.