Sunday, July 17, 2022

Merpati Kota Bharu- Bab 1 - Cik Siti Balik Kampung

 Cik Siti Balik Kampung.


Setakat Kuala Terengganu ke Kota Bharu, hujung minggu pun boleh harung balik. Kan? 


Teorinya cantik, petang Jumaat habis saja waktu pejabat terus lancar susur pantai, kemudian masuk Besut dan seterusnya kau disambut gerbang usang warna coklat yang tak berapa nak coklat sangat dengan ucapan; Selamat Datang. 


Sampai tangga rumah tengah malam buta, macam waktu Cinderella nak bertukar jadi miskin balik pun kau tak peduli. Asalkan hujung minggu cik Siti Nabilah ada di Kota Bharu, bergolek atas katil pink.


Macam itulah bayangannya semasa awal-awal dapat kerja. Kerani pun kerani lah, yang penting dekat dengan negeri sendiri. Gaji pun cantik, tahap gaji  minimum, elaun lagi.  Hujung minggu boleh balik. Sekali bila dah masuk kerja, padan muka kau Siti.


Kenyataannya, ya ampun. Badan minta nyawa. Kerja bagai buruh paksa keretapi maut zaman Jepun, dari pagi sampai petang lima hari seminggu. Habis separuh tenaga ke sana ke mari pulun siapkan tugas untuk majikan comel itu, jadi bayangkan berapa joule sangatlah yang tinggal untuk kekal fokus di jalan raya? 


 Tambah pula perawan sunti tahap lawa bak bidadari dunia sepertinya memandu seorang diri, tengah malam buta? Oho, baik jangan balik jumpa bonda kalau macam tu. Sekali kau kena ceramah setengah jam belum tentu habis.


Pendek kata, walaupun terlihat dekat KT - KB dalam peta google,  senarionya adalah rumit. 


Nah sekarang sudah lulus permintaan cutinya, seminggu bermula Sabtu. Sempatlah Nabilah ambik nafas merancang perjalanan. Cadangnya nak beli sedikit buah tangan dari Pasar Payang untuk keluarga. Esok bila berpagi-pagi ke gudang Yee, Nabilah nak pilih hasil laut yang segar-segar untuk mak. 


Minta mak masak yang sedap-sedap. Wah, lambatnya hari Sabtu!


Friday, July 15, 2022

Merpati Kota Bharu (Bab 1- Serabut Aku!)


Bab 1-SERABUT AKU
 !

Dari pagi sampai sekarang pukul tiga petang, tiga kali Siti Nabilah keluar masuk bilik. Minta cuti.

"Bos, cuti bos."

"Tak leh."

Tiga kali ulang benda sama. Masuk mesin masa Doraemon ke apa Nabilah Yaakob?

Dengan baju kurung kain kapas, tudung labuh yang jarang-jarang 'on point' Mek Siti keluar masuk biliknya.


Sementara tunggu pukul enam, gamaknya mau tiga kali lagi.

Bunyi pintu diketuk sekali lagi.

Terjengul muka tebal tak tahu malu staf yang baru setahun diambil kerja.

"Cuti bos?"

"Mun tutup pintu tu Mekti sebelum aku gi kunci."

Berdentum pintu Siti tutup. Bunyi dah loghat Kelantan Mat Yee. Siti nampak cuping telinga budak cina dah naik merah. Dia tak kira, Sabtu lagi dua hari, nak balik Kota Bharu. Tak kira, tak kira.

Sejam kemudian muka Siti lagi masuk.

"Bos! Cuti."

"Mun salah makan ubat Mekti? Serabut aku lah! Mun cuti mana ada staf nak cover kijo mung la Mek."

"Kijo apo sangat la mung bos. Bukan kena jaga duit billion bosssssss."

"Sakit jiwa main dengan mu ni. Cutilah! Serabut aku. Tapi kalau aku call mu jawab dehh. Tak jawab siap mu, banyak kerja la wei."


"ALHHAMDULILLAH... YAHOOO." berdentum sekali lagi pintu pejabat kecil di tengah bandar Kuala Terengganu. Apa sangatlah kerja, tau kerja banyak tambahlah pekerja seorang dua. Itu pun nak berkira. Jual ketam segar seekor, sekilo pun macam harga jin, nak tambah staf tambah bayar gaji  lagi dua tiga ribu ringgit Malaysia pun berkira. Bukan dalam dollar. 




Merpati Kota Bharu (Bab 1- Minta Cuti)




Bab 1: MINTA CUTI


"Bos saya nak minta cuti."  Bos si Siti ni cina, pernah jadi rakan sekelas suatu masa dulu. Itupun kelas di pusat tuisyen sahaja, yang jumpa pun hanya seminggu dua kali. Kalau tak salah ingatannya, Yee dari SM Chong Cheng. Sedangkan dia, dari sekolah aliran agama khas untuk perempuan. 


Dengan dua kali seminggu, intensif untuk subjek lemah sahaja, bos berbadan kecil di depannya ini tentu sudah lupa sketsa hidup di Pusat Bimbingan Wawasan Bistari. Masuk kelas pun senonong macam kena kejar angsa, waktu balik pun senonong macam tu juga.


 Bila dikenang, pemalu budak Yee ni.  Maklum saja dalam 20 orang murid tingkatan tiga dia seorang saja peranakan cina. Dalam diam-diam si Yee, kertas Bahasa Malaysia tak pernah tidak A. Matematik, Sains apatah lagi. Nota lengkap macam buku rujukan SASBADI. 


"Cuti nak buat apa."


"Emm, saya nak bertunang."


"Bertunang dengan saya saja. Tak payah cuti."


Hamboooii! 


'Nampak sangat aku menipu agaknya.' Siti berbisik sama hati. Tahun ini memang tak ada rehat, raya pun hanya dapat cuti sehari. 'Berkira sangat lah budak cina ni.'


Baru saja berangan nak masuk hutan sehari dua, tukar angin sikit. Mudah-mudahan keluar hutan nanti hati ada tenang, suci dan bercahaya. Minda pun lapang, otak mungkin lebih bergeliga. Baki lagi dua tiga hari, nak berkepit dengan mak di kampung. Sempurna sudah impiannya semalam.


 Itulah, impian semalam yang sempurna itu retak sudah hari ini.  "Err, macam kerja kahwin juga ni Mr Yee. Mudah kata saya ni nak minta cuti kahwin."


"Kalau macam tu kahwin dengan saya saja." Yee menolak borang permohonan cuti Siti Nabilah. 


'Kalau dengan dia sampai mati aku tak dapat cuti.' 


"Alah Siti. Aku orang sini juga lah, bukan orang Guang Zhou. Jangan buat muka blur macam tu. Bertunang apa sampai seminggu. Bukan kau yang pergi meminang kan? Kau duduk rumah tunggu orang datang saja maa."