Friday, July 15, 2022

Merpati Kota Bharu (Bab 1- Minta Cuti)




Bab 1: MINTA CUTI


"Bos saya nak minta cuti."  Bos si Siti ni cina, pernah jadi rakan sekelas suatu masa dulu. Itupun kelas di pusat tuisyen sahaja, yang jumpa pun hanya seminggu dua kali. Kalau tak salah ingatannya, Yee dari SM Chong Cheng. Sedangkan dia, dari sekolah aliran agama khas untuk perempuan. 


Dengan dua kali seminggu, intensif untuk subjek lemah sahaja, bos berbadan kecil di depannya ini tentu sudah lupa sketsa hidup di Pusat Bimbingan Wawasan Bistari. Masuk kelas pun senonong macam kena kejar angsa, waktu balik pun senonong macam tu juga.


 Bila dikenang, pemalu budak Yee ni.  Maklum saja dalam 20 orang murid tingkatan tiga dia seorang saja peranakan cina. Dalam diam-diam si Yee, kertas Bahasa Malaysia tak pernah tidak A. Matematik, Sains apatah lagi. Nota lengkap macam buku rujukan SASBADI. 


"Cuti nak buat apa."


"Emm, saya nak bertunang."


"Bertunang dengan saya saja. Tak payah cuti."


Hamboooii! 


'Nampak sangat aku menipu agaknya.' Siti berbisik sama hati. Tahun ini memang tak ada rehat, raya pun hanya dapat cuti sehari. 'Berkira sangat lah budak cina ni.'


Baru saja berangan nak masuk hutan sehari dua, tukar angin sikit. Mudah-mudahan keluar hutan nanti hati ada tenang, suci dan bercahaya. Minda pun lapang, otak mungkin lebih bergeliga. Baki lagi dua tiga hari, nak berkepit dengan mak di kampung. Sempurna sudah impiannya semalam.


 Itulah, impian semalam yang sempurna itu retak sudah hari ini.  "Err, macam kerja kahwin juga ni Mr Yee. Mudah kata saya ni nak minta cuti kahwin."


"Kalau macam tu kahwin dengan saya saja." Yee menolak borang permohonan cuti Siti Nabilah. 


'Kalau dengan dia sampai mati aku tak dapat cuti.' 


"Alah Siti. Aku orang sini juga lah, bukan orang Guang Zhou. Jangan buat muka blur macam tu. Bertunang apa sampai seminggu. Bukan kau yang pergi meminang kan? Kau duduk rumah tunggu orang datang saja maa."

No comments:

Post a Comment