Sunday, July 17, 2022

Merpati Kota Bharu- Bab 1 - Cik Siti Balik Kampung

 Cik Siti Balik Kampung.


Setakat Kuala Terengganu ke Kota Bharu, hujung minggu pun boleh harung balik. Kan? 


Teorinya cantik, petang Jumaat habis saja waktu pejabat terus lancar susur pantai, kemudian masuk Besut dan seterusnya kau disambut gerbang usang warna coklat yang tak berapa nak coklat sangat dengan ucapan; Selamat Datang. 


Sampai tangga rumah tengah malam buta, macam waktu Cinderella nak bertukar jadi miskin balik pun kau tak peduli. Asalkan hujung minggu cik Siti Nabilah ada di Kota Bharu, bergolek atas katil pink.


Macam itulah bayangannya semasa awal-awal dapat kerja. Kerani pun kerani lah, yang penting dekat dengan negeri sendiri. Gaji pun cantik, tahap gaji  minimum, elaun lagi.  Hujung minggu boleh balik. Sekali bila dah masuk kerja, padan muka kau Siti.


Kenyataannya, ya ampun. Badan minta nyawa. Kerja bagai buruh paksa keretapi maut zaman Jepun, dari pagi sampai petang lima hari seminggu. Habis separuh tenaga ke sana ke mari pulun siapkan tugas untuk majikan comel itu, jadi bayangkan berapa joule sangatlah yang tinggal untuk kekal fokus di jalan raya? 


 Tambah pula perawan sunti tahap lawa bak bidadari dunia sepertinya memandu seorang diri, tengah malam buta? Oho, baik jangan balik jumpa bonda kalau macam tu. Sekali kau kena ceramah setengah jam belum tentu habis.


Pendek kata, walaupun terlihat dekat KT - KB dalam peta google,  senarionya adalah rumit. 


Nah sekarang sudah lulus permintaan cutinya, seminggu bermula Sabtu. Sempatlah Nabilah ambik nafas merancang perjalanan. Cadangnya nak beli sedikit buah tangan dari Pasar Payang untuk keluarga. Esok bila berpagi-pagi ke gudang Yee, Nabilah nak pilih hasil laut yang segar-segar untuk mak. 


Minta mak masak yang sedap-sedap. Wah, lambatnya hari Sabtu!


No comments:

Post a Comment