Wednesday, August 10, 2022

Bab 1: Merpati Kota Bharu -Agaknya Siti sudah lupa


 

‘Yee, Kawe turun Sabak malam ni. Fresh stock nanti kawe hello balik deh.”

“Ketam mega tu Chung. Simpan ko kawe gred A.”

“Kita nanti tengok guana. Ada rezeki nanti kita hello semula. Tapi kalau betul nak segar, demo kena standby sendiri. Sebab ejen kawe tak gerak dinihari.”

“Okay. Kalau tak dok mega, kasi paling besar, paling okeh.”

Dalam kepalanya terbayang sudah Siti Nabilah. Bukannya jauh Pintu Geng dengan Sabak. Harapnya adalah rezeki mereka untuk dapatkan ketam segar dari Kota Bharu, satu karton sudah mencukupi. Setakat satu karton ketam muatlah kancil cik Siti. Dari Sabak, hantar terus ke Hotel Seri Menanti. Ganggu cuti Siti? Minta tolong, takkan tak boleh? Kalau lewat, gred kesegaran sudah tentu akan berkurang. 

Ikutkan rancanngan asal, malam ini dia sendiri akan turun memburu ketam bersama Goo. Takdirnya tidak begitu. Cuti Siti punya pasal, dia pula yang kena siap siaga pesisir pantai sekitar sini.

Sudah sampai rumah agaknya si Siti?

Wajah Siti Nabilah memang tidak berubah. Umurnya 15 tahun atau sekarang 25 tahun, langsung tidak berubah.


Agaknya Siti sudah lupa, mereka pernah duduk sekelas untuk beberapa waktu. walau tidak pernah beramah mesra, tidak pernah bercakap tapi dia tidak akan pernah lupa Siti Nabilah. 

Budak sekolah agama, bertudung labuh, yang tidak segan silu pinjam nota sains sebab kedekut nak keluar duit untuk fotostat.  'Pinjam Yee semetar, saya tak reti nak buat. Balik karang saya bagi. Semetar, semetar.' Tak pernah dia keluar sepatah ayat sama ada diizinkan pinjam atau tidak. Tahu saja buku notanya sudah lesap dari pandangan mata.

Pukul 12 tengahari tepat, Siti kecoh memanggilnya dari hujung tangga tingkat 1 PTB. 'Yee, Yee!' Sekali bila hampir sampai ke tempat duduknya,Siti tergolek jatuh, sempat juga Yee mengelak. Kalau nasib tak baik, dengan dia sekali tergolek sama. Masa itu, nak gelak tak sampai hati. 

'Nah. Terima kasih.' Sambil mengaduh dia membetulkan tudung yang senget benget, tak toleh kiri kanan, tak pandang depan belakang dia berlalu pergi.



No comments:

Post a Comment