Wednesday, September 14, 2022

Suraya

    Dia memandang wajah Johan, lama. Lena lelaki itu bagai mahu menggantikan malam-malam  yang berlalu saban tahun . Hela nafas yang dalam seakan satu petanda, lelah yang terkurung di dada menyelinap keluar ke ruang nyata. 

    Mata Suraya berkaca. 'Aku isterinya. Isteri yang bagaimana aku? Adakah aku selayak Susan, yang seawal subuh bertemu subuh mengurusi lelaki ini tanpa jemu?'

    Bila Johan tenggelam dalam cerita masa lalunya, itulah Susan yang disebut-sebut. Seorang gadis Inggeris yang tahu susila, yang lembut, yang lucu, yang ceria. Seorang ibu Maryam yang kental dan tekun serta taat. Malam pertama Suraya rasmi bergelar isteri, di apartmen ini Johan menangis buat pertama kali di hadapannya. 'Rupanya untuk redha pada takdir itu tidak semudah teori Su, dia pergi saat saya tidak mampu untuk menafkahinya dengan sempurna. Tapi dia, setiap hari berterima kasih dan meminta maaf entah untuk apa. Awak baca surat-suratnya, seolahnya dia merajakan saya. Sedangkan saya banyak kelemahan, ketidaksempurnaan. Sakit demam saya bukan sehari dua, ada waktunya saya tak sedar berhari-hari, ada harinya saya emosi, tidak mampu mengurus diri sendiri. ' Johan menyeka sisa air mata yang masih bertakung, senyum dan memaut ke dua tangan Suraya. 'Maafkan saya.'

    'Surat Susan itu betul. Luahan hati Susan itu benar. Itulah perasaannya. Bos adalah pilihan Allah buat Susan.' Johan sehingga hari ini, tidak mahu mengiktiraf bahawa dialah yang membimbing Susan dengan susah payah, sabarnya untuk melihat gadis bermata biru lengkap solat lima waktu, berhijab dan teguh dalam beramal soleh. Johan seakan lupa bahawa dia juga pagi ke petang menjaga Susan saat sakitnya, mengasuh Maryam malam dan siang saat Susan tidak berdaya. Malam-malam yang dilalui oleh seorang pemuda yang baru kenal dunia persis dialah pendeta dan pejuang untuk keluarga kecilnya.

    Hanya dari surat Susan, Suraya tega melamar kembali seorang lelaki yang masih berjuang untuk pulih dari tragedi masa silam. Sahnya ikatan yang menghalalkan mereka hari ini bukanlah kerana cinta, tidak juga kerana kasihan. Entah apa rahsia TUHAN, yang menitipkan warkah Susan untuk satu perjalanan yang betul tidak Suraya jangkakan.


-SIMFONI BAYU SEMALAM-


Untukpembelian:https://shopee.com.my/Mini-Novella-Simfoni-Bayu-Semalam-i.184657304.11575035677?sp_atk=6b1ec529-c3b9-4857-a2b4-e4b975c0e803&xptdk=6b1ec529-c3b9-4857-a2b4-e4b975c0e803

prolog:https://caque11.blogspot.com/2022/05/bermula-sebuah-perjalanan-simfoni-bayu.html

No comments:

Post a Comment