Saturday, September 24, 2022

Kita ini penunggu.

 

 Tiga hari lepas, lewat pagi saya sampai di rumah seorang sahabat lama. Rona cuaca hangat tapi tidak terlalu terik, suasana terlihat sibuk anehnya sunyi. Beberapa buah kereta bersusun rapi, memberi ruang untuk kereta yang akan tiba di kemudian nanti.


Wajah-wajah yang menyambut kehadiran saya, adalah wajah yang asing. Saya melilau, mencari seseorang yang saya pernah jumpa. Dalam pada itu, salam-salam saya disambut hormat. "Saya kawan kakdah." Sambil saya perkenalkan diri.


"Masuk lah, masuk la jenguk Mok, Mok  ada di dalam. Kakdah tak sampai lagi."


Sesaat selepas itu, muncul sepupu saya. "Mek ada di dalam tu. Aku kena balik sekolah semula, sekolah ada program."  Saya mengangguk. 


Hinggalah saya masuk ke bilik Mok, di kepala Mok kelihatan kelibat maklong yang khusyuk membaca ayat-ayat suci.  Saya cuit maklong, lalu bersimpuh di sisinya. Entah sudah  berapa lama maklong di sisi kakaknya yang terbujur kaku Wallahu a'lam, yang saya tahu maklong hanya mengaji saja sejak saya sampai. 


Bila anak-anak Mok mula mengisi ruang, saya dan Maklong beransur keluar. "Begitulah kak, akan tiba masanya maklong pula. Kita semua ini adalah penunggu. Penunggu sebuah kematian." Maklong merenung saya dalam. Diam saya mengiyakan. 


Kami mengambil tempat di suatu ruang, maklong tenang menunggu kakak yang bakal pulang ke rumah abadi. Manakala saya, sabar menunggu sahabat yang masih di perjalanan, pulang ke pangkuan bonda untuk terakhir kali.


Allahummaghfirlaha warhham ha, wa a'fiha wa'fu a'nha.

No comments:

Post a Comment