Saturday, August 31, 2024

DI BUMIMU MALAYA.

'Masih ingatkah lagi engkau padaku?' Seorang  tua yang berkerusi roda kelihatan sedang hanyut dalam dunianya.


 'Tentu engkau tidak lupa. Sudah 67 tahun, Malaya. Aku rasa seperti baru semalam.' Senyum itu, sedang hangat memanaskan tubuhnya pada musim panas. Ya, musim panas tetap dingin tanpa senyuman yang sering dia rindui. Pipi yang bak pauh dilayang itu, bantal peluknya sepanjang siang. Ya, siang  tanpa raut pipinya kelam seperti bulan purnama terlindung awan sarat.

'Malaya, aku Hafiz.' Ucapan halusnya didengar seorang jururawat. Air mata berlinangan, mengalir dicelah-celah kedut kulit tua, menitik lembut atas kekura tangan yang putih melepuk. “Aku tidak mati.” Patah katanya semakin jelas di cuping telinga jururawat muda itu.

“Pakcik, ada apa ya?” Mitsue bertanya hairan, dia mendepani pakcik tua itu sambil membetulkan gebar yang menyelimuti separuh bahagian badan lemahnya. Mitsue, pelajar tahun akhir jurusan kejururawatan yang bertugas untuk mengurus dirinya kelihatan agak kekok. 

Orang tua di kerusi roda itu kembali diam. Ya, begitulah Mitsue sepanjang empat hari bersama pesakitnya. Kekok. Lebih baik dia membiarkan pakcik itu bercakap-cakap sendiri, daripada terus  membisu akibat kesungguhannya untuk beramah-mesra. 

Mitsue mengalah lagi. “Pakcik, kita balik ke bilik ya.” Tidak menunggu maklum balas, Mitsue menyorong kerusi roda pakcik itu  ke dalam perut rumah kecil yang usang. “Pakcik tunggu ya. Saya buatkan teh panas yang sedap.” Mitsue melemparkan senyum manis. Pakcik itu mengangguk, raut wajahnya sukar dimengertikan.

'Bahkan,senyum seindah Mitsue tidak mampu menandingimu.' Dia menangis teresak-esak. 'Aku tidak mati. Akan tetapi akhir-akhir ini ingin sekali aku menamatkan hidup ini. Malang sekali sekiranya aku menyembelih diriku sendiri nanti aku dimakan api.' Semakin kuat kedengaran esakannya.

 Dia mendorong kerusi mendekati tetingkap yang sedikit terbuka. Matahari senja sedang melambai kepadanya. Pancaran oren dari langit membiaskan Sakura liar dengan warna sedikit ceria. Angin sedang menari seakan memujuknya.

"Hafiz, nanti engkau bawalah diriku ke sana. Aku ingin mengumpul Sakura dalam kerubungku ini. Engkau nanti, janganlah lupakan aku ya. Ibuku sudah tiada, bapaku masih tidak pulang mengikut tentera. Aku sudah tiada siapa-siapa." Wanita itu senyum dalam linangan air mata.

"Sudah tentu." Dia mencium ubun-ubun sang isteri. Haruman yang sentiasa terserak dari si isteri tidak  ada di bumi Sakura ini. Tidak ada untuknya melepaskan rindu. Isterinya itu, tidak lekang dengan melur dan kenanga. Dua jenis bunga yang sentiasa bersembunyi  dicelah sanggul simpulnya "Doakanlah aku dengan izinNya, supaya cepat kita bertemu semula."

 
“Senantiasa aku berdoa untukmu kekanda Hafiz.” Kenanga mencapai tangan si suami lalu dikucup lembut.

Senyum dari rekahan bibir kering itu menjelma saat wajah isterinya di layar mata.  Dia ingin mengutip Sakura untuk Kenanga. Terlalu ingin menghantar kelopak-kelopak Sakura ke bumi Malaya. Sudah 67 tahun Impian itu, namun rasanya impiannya hanyalah sekadar mimpi.

Mitsue mengintai dicelah-celah bingkai pintu, dia ingin mendekat tetapi hatinya menahan. Dari jauh jururawat itu melayan dunia pesakitnya. Sekejap murung, sekejap senyum,sekejap ketawa. 
Pun begitu teh hijau terpaksa dihantar juga, sampai juga dia ke sisi Hiro-san. 

"Mitsue, tolonglah pakcik kutip sedikit kelopak Sakura."

"Baik!" Suara Mitsue bernada girang. Hiro-san mula memberi tindak balas yang baik kepadanya. "Oh, pakcik ingin ke bilik air?" waktu ini selalunya dia akan ke bilik air. 

"Aku uruskan sendiri." 
Mitsue mengangguk lega. "Hati-hati ya pakcik, saya ke halaman ya." 

Mahu dibuat apa Sakura ini? Tiba-tiba muncul tanda tanya dalam diri Mitsue ketika tangannya lincah mengutip sakura. Langkahnya terhenti. Fikiran pula terbayang perkara yang bukan-bukan. Mitsue pantas melempar bakul ke pangkal pohon. Kakinya segera menapak pulang. Antara sedar dan tidak, dia sedang berlari kencang menuju ke rumah Hiro-san.

 Silap! Dia tersilap. Sebagai seorang penjaga tidak patut Mitsue meninggalkan Pakcik Hiro sendiri. 

Dia menguak pintu utama. Hiro-san tidak ada di ruang tamu. Dia mencari di bilik air khas, juga tidak ada. Mitsue menarik pintu bilik tidur dengan kasar,  ketika melihat Hiro-San di situ, Jururawat muda itu menarik nafas lega.  Hiro-San masih bernyawa. Hilang sudah bayangan ngerinya.

Apa yang Hiro-San buat? Ke dua tangannya memeluk satu sama lain di bawah dada, kemudian wajahnya berpaling ke kanan lama lalu ke kiri. Hiro-San tidak menghiraukan kehadirannya. Dia tetap di posisi itu sedikit lama. Tangan kemudian menadah ruang udara yang kosong, lalu diraup ke wajah lesunya.

"Mitsue."

"Ya." Mitsue mendekat. 

"Dia ingat aku mati." 

"Siapa?"

"Mereka di bumi Malaya." Dalam senarai kapal yang ditembak British, namanya termasuk dalam senarai askar jepun yang diisytihar mati. 

Gambar Kenanga yang lusuh bertampuk dengan bekas -bekas air ditatap lama. Pipi pauh di layang, bibir bak limau seulas, senyumnya menghangat malam, jelas di sebalik sekeping foto. Harumnya kenanga disanggul simpul gadis Melayu kekal wangi di rumah ini.

"Buanglah Mitsue, gambar ini sudah lusuh. Entah akulah yang gila menyimpan foto yang koyak rabak." Dia perlahan-lahan menghulur sekeping kertas usang kepada jururawatnya. 

 Buanglah, kerana Kenanga tetap ada di dalam ini, tangan tua itu mengurut dada. Masanya pun sudah singkat, jika Malaya 67 tahun, tambahlah 20 tahun pada angkanya.

 Sekarang dia hanya ingin berjumpa Tuhan, di sana nanti akan dipohonnya supaya bertemu Kenanga, dalam hidup yang abadi.

Mitsue mengambil foto itu dengan hormat, dimasukkan dalam poket 'uniform'nya. Dia mengangguk perlahan. 

"Nama aku Hafiz." Hiro-San bersuara semula. Dia melemparkan senyum kepada Mitsue. Senyum yang sangat manis. Senyuman itu mempamerkan sisi kacak Hiro-san, berhias seraut wajah yang tenang.

###### 

“Ma.. Ma, cepat tengok ni?” gema suara anak lelaki bongsunya memenuhi ruang rumah.

“Hai, kata nak kena jaga rapat Merdeka petang ni.” 

“Ya lah, tengah siaplah ni. Tapi tengok ni dulu.” Ziyad merapatkan telefon bimbitnya. 

“Cuba tengok ni, sebiji macam foto nenek kan? Ha.. kan dah nak sama iras dengan Ma, cuma Mama putih.”

“Mana Usu dapat ni.”

“Dekat facebook. Banyak group yang share.”

Sumayyah menatap lama. Foto ini memang sama dengan foto ibu dalam kotak bawah katilnya. Ya benar. Kenanga. Kenanga itu ibunya.

Ditulis oleh:
Nor Zaharaini Mg.

No comments:

Post a Comment