Wednesday, February 24, 2010

Begitulah kita

Menjadi seorang yang berimpian selalunya meletihkan.
Namun berimpian mengisi tiap ruang waktu dengan harapan-harapan baru.
Walau jatuh tak terngadah, kudrat tetap ada untuk bangun berdiri, kerana impian.

Impian insan yang berada di depan skrin ini amatlah tinggi, terlalu tinggi untuk jatuh. Ngeri. Tapi untuk memanjat ke atas terasa sudah penat. Benarkan dia berehat. Benarkanlah dia menggubah kembali impiannya.

Kerana takdir tidak selamanya sekata. Sudah tinggi dia memanjat, tapi dia lupa semakin tinggi ke atas tekanan semakin rendah, udara semakin kurang. Takdir dia di atas tidak lagi sama ketika di bawah. Di atas , dalam berimpian dia harus menjadi seorang survival. Menongkah tekanan luar kebiasaan dan persekitaran baru. Sekarang, dia bukan lagi sekadar berimpian, tetapi seorang survival dalam menjelmakan impiannya.

Tuesday, February 23, 2010

...8

Muka berminyak di alas dengan sedikit bedak bayi. Bibir yang kering ditoreh pelembab. Yakin dengan letak duduk tudung di kepala, Julia menyangkut beg komputer riba ke bahu, dan kembali menyusur ke ruang lobi.

Dia mencari-cari ruang kosong untuk berlabuh sebelum ke bilik menunggu. Dalam keramaian dan hiruk pikuk itu, Julia menyorot susuk tubuh yang kecil dengan rambut panjang bertoncang sambil memeluk 'gumpalan' kain telekungnya, mata melilau kiri dan kanan, rambut halusnya menari mengikut rentak tuan.

Rolex di lengan kiri Julia toleh seketika, hampir 20 minit anak itu sendirian. Mungkin. Niat Julia untuk mendekat terhenti tika melihat seorang lelaki meluru ke arah tubuh kecil itu. Zup!! Darah Julia tiba-tiba menjadi kering.

Kain telekung anak itu diraih lembut oleh tangan seorang lelaki, mereka menghampiri sebuah kerusi yang baru sahaja dikosongkan sepasang orang tua warga eropah.

Johan. Tanpa disedari Julia mendekat ke arah mereka. Fikiran puas melarang tetapi hatinya degil. Pun begitu, kaki akhirnya terpaku kemas beberapa ela dari tempat duduk mereka. Julia cepat berpaling membelakangi. Tegak. Kaku. Pucat. Jantungnya mengepam darah dengan laju, dengan payah. Tangannya gementar.

"Kenapa tak lipat elok-elok. Malu tau orang tengok anak perempuan tak pandai lipat kain."

"Maryam nak cepat la abah. You scold me then if Maryam lewat." Nada anak kecil itu berlagu manja.

"Oklah, oklah i'm sorry. I just met one guy back there."

Bunyi kain telekung dikibas-kibas kuat. Tenaga Johan.

"You always like that abah...I am a girl you know, sitting here alone. If someone flirting me, it's dengerous abah..."

Johan ketawa penuh kasih. Julia mahu pengsan.

"Yes, big girl. Good la if someone flirting you. Flirting konon..."

"No, am only five years old."

"Yes, only-five-years-old-big- girl."

"Abah!..."

"Ok..ok..I'm sorry. Next time i wait in ladies surau with Maryam. Come on, pack it fast or else we never reach anywhere."

"Yes sir. Next month we will fly to Moms hometown ya abah?"

"God willing us."

"Atuk nenek ikut sama?"

"Hmm... only us. Sounds romantic isn't it?"

"Yeah... But last time we went during winter."

"Mommy can't wait till winter. Jom jom jom hurry."

Kedengaran Maryam berlari menjauh. Kedengaran juga Johan melangkah cepat. "Abah i want that ice cream...i want i want." Suara anak itu juga seperti pedang. Tusukan kali ini ke tempat yang sama. Mengalirkan 'darah' yang sama. Tetapi lebih dalam.

Seluruh sendi Julia lemah dan lumpuh.




...7

" I ke sana dalam seminggu, apa-apa hal call i tau Di."

"Jaga diri. Betul dah tak ada yang tinggal?"

"Yup."

"Ye lah tu."

Julia senyum lebar. "Terima kasih hantar i."

"Hai, terima kasih saja."

"Ye lah, balik ni i belanja awak makan."

"Deal."

"Tak ikhlas langsung."

Hamidi ketawa. "I tak tunggu ni, nak kena naik suruhanjaya."

"No problem."

Julia menghantar pemergian Hamidi dengan ekor mata. Tidak lama. LCCT kelihatan berkilau dipancar cahaya matahari. Pokok-pokok berkanopi masih kecil, daun amat jarang menampakkan dahan-dahan dan julai-julai kering. Tempat parkir bertar menaikkan lagi suhu yang sedia ada panas.

Pandangannya silau. Badan mula melekit, kulit mula memerah . Cepat-cepat Julia menarik bagasi saiz kecil menuju ke ruang lobi yang berhawa dingin. Tidak berhenti di situ, dia mara terus ke surau. Berehat sambil menunggu masa berlepas.

Usai jamak taqdim, usai salam terakhir, usai berdoa ringkas, bahunya disentuh halus. Julia tergamam. Entah dari mana seorang kanak-kanak comel bertelekung penuh menghulurkan salam. Julia menyambut. Sejadah kecil anak itu di sebelah kanan Julia sedikit terkebawah.

"Oh, adik berjemaah tadi?"

Anak kecil itu mengangguk dan senyum. Julia senyum.

"Lain kali cuit bahu imam dulu, jadi imam boleh ubah niat."

"Abah tak ajar lagi yang tu."

Julia ketawa kecil. Dia cuma memerhati anak itu melipat kalut kain telekungnya, digumpal-gumpal sahaja. Kemudian dibungkus dengan sejadah kecil.

"Bye. Makcik." Dia berlari-lari menuju ke pintu.

Monday, February 22, 2010

...6


Sepasang air matanya menitik.

Skrin komputer kelihatan berbalam-balam. Hiruk pikuk teman serumah kedengaran semakin menghalus. Julia semakin tenggelam ke dunia yang lain.

Tangan halus yang sedang memetik papan kekunci pernah sekali singgah di pipi seorang lelaki. Tangan kecil itu terasa amat ringan tetapi bertenaga, melayang terus ke pipi dia. Johan tidak memberi respon, seakan merelakan tindakan luar dugaan wanita itu untuk yang ke dua kali. Namun sebaliknya, Julia berpaling, melangkah serta menjauh, kelihatan gagah. Langkahnya gagah.

"Kita putuskan saja." Ringan lidah Johan bertutur, ringan itulah juga tangan kecil Julia.

7 tahun. 7 tahun yang bahagia. Sehari sebelum hari hitam itu hati Julia sesak dengan bunga, diracuni haruman rindu. Keterujaan rindu itu menerjah petala. Empat tahun tidak bersua, dipisahkan benua dan lautan pasifik. Lalu pertemuan pertama Julia diterjah dengan sepotong ayat ringkas.

Patah ayat keramat lelaki itu teramat ganjil. Kenapa? Kerana apa? Janganlah alasan tidak ada jodoh diomokkan pada saat musim bahagia ini. Segala persiapan ke persada pelamin sudah siap segala, lalu tiba-tiba sepotong ayat berbentuk pedang menghancurkan semua.

Bila ayah tanya, Jawapannya amat jujur tidak berlapik; Han sudah ada isteri di sana.

Kenapa Johan perlu begitu. Hati Julia ditikam dua kali.

Sepasang lagi air matanya tumpah. Dan sepasang lagi. Sepasang lagi. Lalu menjadi juraian-juraian gugur ke permukaan meja.

Laporan yang hampir siap dibiarkan terpampang di dada skrin. Longlai Julia merebahkan diri ke katil bujang. Umur menghampiri 30, bayang Johan tidak padam-padam, puas ditimbus tidak juga terbenam. Johan seperti tidak merelakan lelaki lain menyentuh 'perempuannya'. Julia benci Johan . Tujuh tahun itu cinta pertamanya. Tulah cinta pertama amat berbisa. Ah, Johan meninggalkan saka di hati rapuh Julia. Tuhan...tolong Julia...Tuhan...tolong Julia... Julia merintih kepada DIA...dalam deru air mata, lena Julia akhirnya, lena kerana keletihan berperang dengan nafsu perasaan.

Tuhan, kasihanilah Hamidi.





Sunday, February 21, 2010

...5


Seringkali kita terpaksa melupakan kenangan. Bukan kerana ia pahit tetapi kerana ia terlalu manis untuk di telan pada masa ini. Manis sehinggakan air mata si perindu ini mengalir tanpa dipaksa-paksa.

Kerana manisnya ia, alur darah menjadi pekat, nafas semakin memberat, kaki menjadi lemah...otak membeku...dada sendat bergelora...

Manisnya membawa padah...

Wednesday, February 17, 2010

To those who has experienced 1st love...


Kita selalu di batasi
realiti dan fantasi
kisah cinta bersemi
Bersama berilusi

di situlah kita
mengenal ertinya budi
kasih sayang insani
dan peribadi

Pada detik yang ngeri
yang pernah termimpi
ku dibaluti sepi
kenangan membara lagi
meracuni hati yang
keterlanjuran

Baru kini ku akui
Kau masih milikku lagi
Dan terus bersemadi
Hingga akhir nanti...

Monday, February 15, 2010


Ralit aku berjalan
Tamak apa yang di depan
Kendong yang aku galas
Tidak sedar keciciran

Seperti Pandir aku
Berlari ke hulu
Kejar bayang
Yang tiada tuan

Seperti Kadok aku
Gelanggang judi belum tutup
aku sudah terkinja

Jika aku jadi Luncai
Jangan labu jangan
Jangan terjun bersamaku
bahaya!

Namun tetap
Pandir pun akulah
Kadok pun akulah
Luncai pun akulah

Apalah yang ada di hulu sana
Terkejar-kejar aku ini
Dengan kendong yang rabak
Sedikit-sedikit bebannya tercicir

Berhenti aku
Berhenti!

Kutip balik ia
Penting aku
Penting!

Itu buah tanggungjawab
yang bakal aku hadap bersama
di hadapan TUHAN