Sunday, June 5, 2022

Johan dan Biopsi Buah Pinggang

 

Johan, dalam sendirian dan tanpa sedar diuji dengan kesihatannya yang tidak menentu semenjak di bangku sekolah.  Di sini, anak muda itu terpaksa menjalani satu prosedur yang dinamakan 'Renal Biopsy' setelah melalui suatu siri simptom kehilangan daya fungsi ginjal. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/kidney-failure/symptoms-causes/syc-20369048 (rujuk link ini untuk tanda-tanda kegagalan ginjal)


Apakah 'kidney biopsy' yang dijalani Johan?

Johan melalui dua fasa prosedur sepanjang umurnya yang baru lingkungan 25 tahun. 

Biopsi buah pinggang dilakukan dengan mengambil tisu ginjal untuk tujuan mengenalpasti abnormaliti pada ginjal. Tisu tersebut kemudiaanya diperhatikan di bawah mikroskop untuk mengenalpasti punca penyakit.

 Dalam biopsi ini juga ahli patalogi akan menganalis sel ginjal menggunakan CT scan, ultrasound ataupun fluoroscopy.

Teknik ini dapat mengesan kehadiran kehadiran protein dalam urin, mengenal pasti samada berlaku kegagalan ginjal dengan memerhati kehadiran unsur yang dirembeskan oleh darah, dan jika berlakunya heamaturia.


4 teknik biopsi

Terdapat beberapa teknik biopsi yang boleh dilakukan atas pesakit;

a) Biopsi terbuka,- doktor membuat satu bukaan kecil dan mengambil sedikit sampel tisu untuk dianalisis (pesakit diberi anestatik setempat)

b) Biopsi percutaneous - jarum biopsi digunakan untuk mengambil cebisan tisu ginjal, ultrasound pula digunakan untuk memandu jarum biopsi ke tisu sasaran. Terkini terdapat pistol biopsi automatik, yang mana dapat menjimatkan masa sampel tisu diambil. (Pesakit diberi anestatik setempat)

c) Biopsi laparoskopik - teknik ini khas untuk pesakit yang tidak boleh menjalani biopsi percutaneous, iaitu individu yang mengalami masalah obesiti, antikougulan, isu pendarahan dan sebagainya.

d) Transjugular renal biopsi- kemahiran ahli radiologi diperlukan untuk prosedur ini. 



 Risiko Johan alami berkaitan biopsi ginjal

Terdapat beberapa risiko yang terpaksa dihadapi oleh pesakit yang melalui biopsi ginjal, antaranya

a) Pendarahan dalam di kawasan biopsi atau darah dalam urin.

b) Infeksi atau jangkitan kuman di bahagian biopsi 

c) Ketidakselesaan selepas ujian dilakukan

d) Organ berhampiran kawasan biopsi mungkin akan cedera semasa prosedur dijalankan.


------>>>>>   selami kisah Johan di sini <<<<<<---------------






Monday, May 23, 2022

Johan

Kerana kau lafazkan benci, aku pergi.
Kerana kau yang pernah aku sakiti, aku pergi.
Kerana kau yang pernah dulu aku kasihi, aku pergi.

Kau menyendiri
Demi kerna aku
Kisahnya itu hakikat
Aku masih kau sayangi

Apa kau mahu 
Aku melutut
Untuk rayuan
Seribu pengampunan
Maaf aku tak mampu

Jemala aku dari hari itu
Telah terpikul sebuah amanah
Menuntut sebuah kudrat

Aku pasti beban itu
Bergalas sehingga 
Jarum saat terhenti
Dalam kitar hayat ini



-Johan-

Wednesday, May 18, 2022





Bermula sebuah perjalanan - Simfoni Bayu Semalam-

 Simfoni Bayu Semalam ternukil sejak beroperasinya KLIA 2. Tika itu, lapangan terbang Malaysia yang ke dua sangat membahang. Tiada pohonan sebagai teduhan, sangat ringkas dan tidak se - elegan sekarang. 

Di dada blog inilah kisah seorang pemuda dinukilkan. 

Kisah Johan sangat panjang, entah lima ratus muka surat belum tentu terungkap segala sisi hidup seorang Johan. Namun cukuplah penulis sekadar mengambil fragmen-fragmen penting dalam hidup anak muda itu. Menulis perihal insan yang menyentuh ruang hatinya. Tersimpul dalam sebuah buku comel setebal lebih kurang 180 muka surat.

Selesai dibukukan, penulis mula merindui watak Johan. Dia bukanlah seorang pendiam, bukan juga seorang yang terlalu ramah. Mahalnya Johan kerana senyum yang sentiasa berhias, ringan menyapa sesiapa jua dan tahu merendah diri. Usia 20-an, dia sudah berada pada suatu tahap kematangan yang bukan calang-calang.


Johan, dalam alur langkah yang sentiasa tenang, hanya seorang dua saja yang tahu badai gelora yang ditempuhnya. Seorang dua itu pada mulanya bukan abah dan bukan mamanya. Seorang dua itu adalah insan yang sangat asing, yang ditakdirkan melintasi garis hdupnya sebagai seorang pelajar diploma MBA. Bertemu seorang gadis inggeris yang terlalu rapuh dan tidak mahu meneruskan hidup, dengan alur songsang yang jauh tersasar, soal akidah itu usahlah dibicara nyatanya Susan bukan seorang muslim. 

Pertemuan itu merubah segala perancangan takdir yang tersusun dalam jadual diarinya. Usia awal 18 tahun, seusai hari merentas tarikh lahirnya .... Johan menggalas tanggungjawab yang tidak mudah. Sukar hingga dirinya sendiri nanar dan penasaran.


"Put down the knife, take it easy." Seekor anjing sudah gadis itu sembelih, terlambat Johan sesaat lehernya sendiri juga akan merekah bersembur darah.


"Want to take a toast with me. Come on you human. This world is definitely not ours. Come with me. This place is crazy , suffocates me. Here is not belong to human being. Crazy..."


"Marry me! I will show you the other side of life. Now put down that thing." 

Susan terkaku sesaat dua sebelum terhambur ketawa bernada ejekan. Saat itu Johan menerpa, menepis pisau yang disua kepadanya ditolak Susan jauh dari bangkai anjing yang entah bila menjadi mangsa sembelihannya. Darah kehitaman menutup lantai makmal yang tidak digunakan.

"Marry me dear friend, I will guarantee you with my soul. World is not what your eyes 've witnessed."

"Who are you? Ahahaha. Marry you. Even 'marry' itself is nonsense."

"What's your name dear, let's make it official then I show you what real life is. Come." Johan sendiri hampir pengsan dengan bau darah yang menyekit, terlihat pula cakaran di lengan Susan dan leher yang sudah sedikit tergores. 

"Are you crazy?"

"No am not. We must get out of here." Johan sepantas kilat menyeret jaket yang dipakai Susan. Menyeret mami Maryam jauh dari situ. Fikirannya masa itu kosong, Susan juga seperti jasad yang kosong... Mereka berjalan menahan sebuah teksi ke arah sebuah masjid yang terletak satu jam dari bandar itu.

Apa yang dia lakukan malam itu? Dengan tangan yang menggigil dan lutut jelas terketar-ketar Johan, Johan yakin Tuhanlah yang memandu jiwanya ke masjid bersama Susan. Mencari imam dan bercerita dalam kelam. Isteri kepada imam yang berumur separuh abad itu senang pula menumpangkan Susan, memberi persalinan dan makan malam kepada mereka. Sementara Susan dibilik, Johan bercerita. 

"You know her?"

"No I Don't. But we are at the same school."

"Her name is Susan."

"Oh.."

Malam itu mereka bertaaruf, berbicara panjang dan seingat Johan malam itu bagaikan siang, matanya tidak mahu lena. Hati dipagut debar yang tidak pernah dirasai. Apa yang dia sudah lakukan??? Abah, mama, ayah, ummi di kampung bagaimana? Esok sudah dia berjanji dengan Susan akan menjadikannya sah sebagai permaisuri hati, berjanji untuk memperlihatkan indahnya dunia jika berpasak dan berjalan di jalan yang benar. Sudah sah Susan mengislamkan diri malam itu, semata-mata janjinya untuk menunjukkan gadis itu jalan bahagia.

Johan selepas hari itu, tenggelam dalam dunianya. Dari permukaan hatinya, manusia lain sudah tidak mampu 'mencari' di manakah Johan yang dahulu


...



Ah... penulis rindu untuk mengintai Johan sekali lagi. 


untuk pra tempahan.






Friday, May 13, 2022

Ruang hidup


 Hidup ini

Saya, awak, dia, mereka, kita

Sama sahaja


Hidup ini dalam merenung sisi alam; Bukit bukau gunung ganang, hutan cerang, belukar rimba, laut nan tujuh, sungai yang berurat. haiwan banat, rumput rampai. Sungguh perangainya saling tak tumpah dengan ummat manusia.


Payah apa bagi Tuhan yang menjadikan.

Thursday, May 12, 2022

Hidup



Menulis sehingga 
Laut dan ombak kedengaran petah berbicara 
Lalang dan pokok terlihat menari ria
Hujan dan ribut saling memikat

Menulis sehingga manusia gerun dan menunduk 
Sadar bahawa mereka berkubu berkeliling 'nyawa'

     

Monday, December 13, 2021

Bendang Itu Saksi Bisu


    Termenung aku di pangkin bonda, menghadap luas bendang yang kontang. Aroma kopi panas dan segar, tidak mampu menahan layar mata dari terus menatap lapang dadanya.

    Di dada bendang yang kontang itu, aku melihat mergasatwa mencicip hidangan pagi. Embun masih belum kering, gemerlap kilaunya menghias hujung rerumput liar dan lalang muda. Berhias pula latar kabus yang semakin menipis.

     Sepi. Agaknya bendang itu juga sedang merindui sebuah panorama suatu waktu yang lalu. Sama seperti aku.

     Dahulu, bendang itu 'hidup' seperti aku. Di dadanya Paklong asyik menuai padi. Aku dan anak-anak jiran galak berlari, kejar mengejar ke sana sini.  Tidak peduli panas terik matahari, dari pagi bawa ke tengahari. 

     Maklong tak jemu melayan kami, dengan becok mulutnya melarang itu dan ini. Tak lupa hidangan bekal nasi dan ikan goreng, bertambah tambah kami menyantuni secebis rezeki hidangan petani.

      Padi dituai jerami disisih. Aku dan kamu tumpang membanting, turut sama mengirai-ngirai, agar tercerai si isi padi. Pening paklong mengemudi kami! 

     Di dada bendang kami berlari, riang meneroka unggas dan semi. Pepatung belalang mainan alam. Ah, seronoknya bersembunyi di sebalik bukit-bukit jerami. Siapa yang jumpa dia yang jadi!

    Abang Die mahir membuat serunai... Di sisik-sisik batang padi, ditiup-tiup bernada seni. Kami menari keliling jerami. "Abang Die, Abang Die tiuplah lagi. Abang Die, Abang Die ajarilah kami. Bagaimana nak buat serunai padi."

     Jika aku menjadi bendang...alangkah turut sama berdendang. Bersenandung indah dalam diam, ikut sama berlagu riang.

    Hari ini sepinya kamu, duhai bendang yang aku kenang. Sesepi aku menghantar memori, berlagu kasih bersama angin.

   Sketsa di bendang itu terlalu banyak untuk dinukil. Baharu saja sentuhan jerami, belum lagi cerita yang lain. 

  Akan terus aku menulis... Untuk ditatap anak-anak hari ini. Semua itu tiada lagi. Yang tinggal hanya bendang yang sepi.



    


     foto: https://www.flickr.com/photos/abiommacro2/9646775684