Monday, January 29, 2024
Mimpi Dinihari
Tuesday, August 15, 2023
Bahasa cinta
Bahasa cinta adalah bahasa yang tidak berhuruf dan kata. Bahasa cinta adalah tanda dan makna. Bahasa cinta adalah bahasa jiwa. Kau mampu rasa dan hidup di dalamnya.Kau tidak akan mengeluh dan menagih kalimat yang bersuara, jika cinta mampu kau damba dalam secangkir kopi dia, renung matanya dan runtun jiwanya.Cinta, tidak perlu kau laung dari puncak Kinabalu sebagai tanda patri janji setiamu
Sunday, April 23, 2023
MATI
MATI
Wednesday, October 26, 2022
Cucu Tuan Rumah
Tuesday, October 11, 2022
Bab 2: Merpati Kota Bharu
“Kelabu saja ni.” Tanda pada teks
yang dihantar melalui whatsapp tidak bertukar warna, telefon juga tak
berangkat. “Bertuah Siti Nabilah. Betul-betul cuti budak ni.”
Nabilah membaca sepintas lalu
teks yang masuk, pesanan pada whatsappnya sudah diset untuk kekal bertanda
kelabu. Sudah lama dia rancang untuk ke daerah Jeli, menginap di salah sebuah
rumah tumpangan sebelum bertolak ke Kem Baha. Terbayang sudah permaidani awan
yang berkepul-kepul menghampar puncak Stong. Bukan senang untuk merakam momen lantai
awan, masa perlu diatur secermatnya, cuaca juga moga-moga sedang eloknya.
-Mek, mung jangan la. Esok
pagi tu aku minta tolong semeta jah.
Pagi dia tu dinihari. Orang kalut solat Subuh masa tu.
-Mek wei, aku cover tugas mun
sini esok sebab mun gelenyar nak cuti. Kalau ikut jadual asal, aku la yang kena
turun Sabok.
Nabilah baca lagi. Kasihan pun
ada. ‘Tapi aku dah setahun tak cuti ni. Gelenyar dia bagi aku.’
“Kakak! Teman mok kejap.”
“Ke mana mok?” Nabilah
meninggalkan telefonnya, bangun mencari suara ibu.
“Kita gi cari ikan segar, mok nak
buat laksa.”
Tiket keretapi siap terselit
dalam buku catatannya. Faezah dan Norzi bukan main seronok bila tahu kawan yang
merempat di stor basah Yee telah selamat keluar dari medan pertapaan. “Gigih
betul Yee simpan kau, macam nak ikat jodoh.” Gema suara nakal Faezah masih
melekat dalam kepala. Nak ikat jodoh apa, skop kerja ibarat untuk lima orang,
atas bahunya belaka. Pantau Gudang, ke jeti semak gred tangkapan, jaga stok
pelanggan, ada masa terpaksa jadi juruteknik baiki itu ini.
Mana boleh batalkan rancangan
meraka bertiga. Mana aci. Tak boleh, harus ke Jeli.
Monday, October 10, 2022
PERIHAL Merpati Kota Bharu
Perihal Merpati Kota Bharu
Setelah Simfoni Bayu Semalam (SBS) berada di pasaran, saya mula menyusun plot untuk Merpati Kota Bharu. Masih dalam perkiraan samada mahu menamatkan Merpati Kota Bharu sebagai sebuah novel ataupun sekadar memenuhi koleksi antalogi cerita pendek.
Merpati Kota Bharu (MKB) adalah hasil ilham berdasarkan pengalaman seorang pemuda Cina Kelantan yang saya anggap sebagai seorang adik yang baik dan rapat. Pertemuan dengan adik ini sungguh dalam aturan Tuhan, hati baiknya itu menemukan dia dengan ibu saya, suami dan anak-anak. Cerita dalam kisah MKB adalah banyak berkisar pengalamannya dengan sedikit olahan.
Merpati sinonim dengan sifatnya yang sangat setia pada pasangan begitulah adik yang saya kenali. Pertama kali hatinya diusik oleh seorang wanita melayu muslim, seorang ibu tunggal yang penuh liku hidup.
Dalam MKB, saya mahu abadikan kenangannya, di mana tiap kali diuji kepada saya dia luahkan. Enam tahun lalu saya bertemu, seorang pemuda persis merpati, yang terluka dan terus menyendiri dalam melakar kejayaan peribadi .
Moga diizinkan Allah, untuk sebuah lagi naskah yang bakal menjadi memori.
Sunday, October 9, 2022
The season
The season
The thick grey clouds
Folded
Layer by layer
Lazily pass across our rusty roof
Yet the sun shines
Softly touches my aging skin
Gently the monsoon wind blows
Bringing
The smells of grasses and the leaves
The roses and the gardenia
The torenia and the jasmines
The bougainvillea and the reullia
The downpours melting with
the mixed soils
That I yesterday used them
To nurse the pendas
and the callisia
Woah,
And the 10 o clocks flowers
Still sleeping at 11!
And the season in November
Is the season I love the most :)
Zaharaini MG
Saturday, September 24, 2022
Kita ini penunggu.
Tiga hari lepas, lewat pagi saya sampai di rumah seorang sahabat lama. Rona cuaca hangat tapi tidak terlalu terik, suasana terlihat sibuk anehnya sunyi. Beberapa buah kereta bersusun rapi, memberi ruang untuk kereta yang akan tiba di kemudian nanti.
Wajah-wajah yang menyambut kehadiran saya, adalah wajah yang asing. Saya melilau, mencari seseorang yang saya pernah jumpa. Dalam pada itu, salam-salam saya disambut hormat. "Saya kawan kakdah." Sambil saya perkenalkan diri.
"Masuk lah, masuk la jenguk Mok, Mok ada di dalam. Kakdah tak sampai lagi."
Sesaat selepas itu, muncul sepupu saya. "Mek ada di dalam tu. Aku kena balik sekolah semula, sekolah ada program." Saya mengangguk.
Hinggalah saya masuk ke bilik Mok, di kepala Mok kelihatan kelibat maklong yang khusyuk membaca ayat-ayat suci. Saya cuit maklong, lalu bersimpuh di sisinya. Entah sudah berapa lama maklong di sisi kakaknya yang terbujur kaku Wallahu a'lam, yang saya tahu maklong hanya mengaji saja sejak saya sampai.
Bila anak-anak Mok mula mengisi ruang, saya dan Maklong beransur keluar. "Begitulah kak, akan tiba masanya maklong pula. Kita semua ini adalah penunggu. Penunggu sebuah kematian." Maklong merenung saya dalam. Diam saya mengiyakan.
Kami mengambil tempat di suatu ruang, maklong tenang menunggu kakak yang bakal pulang ke rumah abadi. Manakala saya, sabar menunggu sahabat yang masih di perjalanan, pulang ke pangkuan bonda untuk terakhir kali.
Allahummaghfirlaha warhham ha, wa a'fiha wa'fu a'nha.
Wednesday, September 14, 2022
Suraya
Dia memandang wajah Johan, lama. Lena lelaki itu bagai mahu menggantikan malam-malam yang berlalu saban tahun . Hela nafas yang dalam seakan satu petanda, lelah yang terkurung di dada menyelinap keluar ke ruang nyata.
Mata Suraya berkaca. 'Aku isterinya. Isteri yang bagaimana aku? Adakah aku selayak Susan, yang seawal subuh bertemu subuh mengurusi lelaki ini tanpa jemu?'
Bila Johan tenggelam dalam cerita masa lalunya, itulah Susan yang disebut-sebut. Seorang gadis Inggeris yang tahu susila, yang lembut, yang lucu, yang ceria. Seorang ibu Maryam yang kental dan tekun serta taat. Malam pertama Suraya rasmi bergelar isteri, di apartmen ini Johan menangis buat pertama kali di hadapannya. 'Rupanya untuk redha pada takdir itu tidak semudah teori Su, dia pergi saat saya tidak mampu untuk menafkahinya dengan sempurna. Tapi dia, setiap hari berterima kasih dan meminta maaf entah untuk apa. Awak baca surat-suratnya, seolahnya dia merajakan saya. Sedangkan saya banyak kelemahan, ketidaksempurnaan. Sakit demam saya bukan sehari dua, ada waktunya saya tak sedar berhari-hari, ada harinya saya emosi, tidak mampu mengurus diri sendiri. ' Johan menyeka sisa air mata yang masih bertakung, senyum dan memaut ke dua tangan Suraya. 'Maafkan saya.'
'Surat Susan itu betul. Luahan hati Susan itu benar. Itulah perasaannya. Bos adalah pilihan Allah buat Susan.' Johan sehingga hari ini, tidak mahu mengiktiraf bahawa dialah yang membimbing Susan dengan susah payah, sabarnya untuk melihat gadis bermata biru lengkap solat lima waktu, berhijab dan teguh dalam beramal soleh. Johan seakan lupa bahawa dia juga pagi ke petang menjaga Susan saat sakitnya, mengasuh Maryam malam dan siang saat Susan tidak berdaya. Malam-malam yang dilalui oleh seorang pemuda yang baru kenal dunia persis dialah pendeta dan pejuang untuk keluarga kecilnya.
Hanya dari surat Susan, Suraya tega melamar kembali seorang lelaki yang masih berjuang untuk pulih dari tragedi masa silam. Sahnya ikatan yang menghalalkan mereka hari ini bukanlah kerana cinta, tidak juga kerana kasihan. Entah apa rahsia TUHAN, yang menitipkan warkah Susan untuk satu perjalanan yang betul tidak Suraya jangkakan.
-SIMFONI BAYU SEMALAM-
prolog:https://caque11.blogspot.com/2022/05/bermula-sebuah-perjalanan-simfoni-bayu.html
Wednesday, August 10, 2022
Bab 1: Merpati Kota Bharu -Agaknya Siti sudah lupa
‘Yee, Kawe turun Sabak malam ni. Fresh stock nanti kawe
hello balik deh.”
“Ketam mega tu Chung. Simpan ko kawe gred A.”
“Kita nanti tengok guana. Ada rezeki nanti kita hello semula.
Tapi kalau betul nak segar, demo kena standby sendiri. Sebab ejen kawe tak gerak dinihari.”
“Okay. Kalau tak dok mega, kasi paling besar, paling okeh.”
Dalam kepalanya terbayang sudah Siti Nabilah. Bukannya jauh Pintu Geng dengan Sabak. Harapnya adalah rezeki mereka untuk dapatkan ketam segar dari Kota Bharu, satu karton sudah mencukupi. Setakat satu karton ketam muatlah kancil cik Siti. Dari Sabak, hantar terus ke Hotel Seri Menanti. Ganggu cuti Siti? Minta tolong, takkan tak boleh? Kalau lewat, gred kesegaran sudah tentu akan berkurang.
Ikutkan rancanngan asal, malam ini dia sendiri akan turun memburu ketam bersama Goo. Takdirnya tidak begitu. Cuti Siti punya pasal, dia pula yang kena siap siaga pesisir pantai sekitar sini.
Sudah sampai rumah agaknya si Siti?
Wajah Siti Nabilah memang tidak berubah. Umurnya 15 tahun atau sekarang 25 tahun, langsung tidak berubah.
Agaknya Siti sudah lupa, mereka pernah duduk sekelas untuk beberapa waktu. walau tidak pernah beramah mesra, tidak pernah bercakap tapi dia tidak akan pernah lupa Siti Nabilah.
Budak sekolah agama, bertudung labuh, yang tidak segan silu pinjam nota sains sebab kedekut nak keluar duit untuk fotostat. 'Pinjam Yee semetar, saya tak reti nak buat. Balik karang saya bagi. Semetar, semetar.' Tak pernah dia keluar sepatah ayat sama ada diizinkan pinjam atau tidak. Tahu saja buku notanya sudah lesap dari pandangan mata.
Pukul 12 tengahari tepat, Siti kecoh memanggilnya dari hujung tangga tingkat 1 PTB. 'Yee, Yee!' Sekali bila hampir sampai ke tempat duduknya,Siti tergolek jatuh, sempat juga Yee mengelak. Kalau nasib tak baik, dengan dia sekali tergolek sama. Masa itu, nak gelak tak sampai hati.
'Nah. Terima kasih.' Sambil mengaduh dia membetulkan tudung yang senget benget, tak toleh kiri kanan, tak pandang depan belakang dia berlalu pergi.
Sunday, July 17, 2022
Merpati Kota Bharu- Bab 1 - Cik Siti Balik Kampung
Cik Siti Balik Kampung.
Setakat Kuala Terengganu ke Kota Bharu, hujung minggu pun boleh harung balik. Kan?
Teorinya cantik, petang Jumaat habis saja waktu pejabat terus lancar susur pantai, kemudian masuk Besut dan seterusnya kau disambut gerbang usang warna coklat yang tak berapa nak coklat sangat dengan ucapan; Selamat Datang.
Sampai tangga rumah tengah malam buta, macam waktu Cinderella nak bertukar jadi miskin balik pun kau tak peduli. Asalkan hujung minggu cik Siti Nabilah ada di Kota Bharu, bergolek atas katil pink.
Macam itulah bayangannya semasa awal-awal dapat kerja. Kerani pun kerani lah, yang penting dekat dengan negeri sendiri. Gaji pun cantik, tahap gaji minimum, elaun lagi. Hujung minggu boleh balik. Sekali bila dah masuk kerja, padan muka kau Siti.
Kenyataannya, ya ampun. Badan minta nyawa. Kerja bagai buruh paksa keretapi maut zaman Jepun, dari pagi sampai petang lima hari seminggu. Habis separuh tenaga ke sana ke mari pulun siapkan tugas untuk majikan comel itu, jadi bayangkan berapa joule sangatlah yang tinggal untuk kekal fokus di jalan raya?
Tambah pula perawan sunti tahap lawa bak bidadari dunia sepertinya memandu seorang diri, tengah malam buta? Oho, baik jangan balik jumpa bonda kalau macam tu. Sekali kau kena ceramah setengah jam belum tentu habis.
Pendek kata, walaupun terlihat dekat KT - KB dalam peta google, senarionya adalah rumit.
Nah sekarang sudah lulus permintaan cutinya, seminggu bermula Sabtu. Sempatlah Nabilah ambik nafas merancang perjalanan. Cadangnya nak beli sedikit buah tangan dari Pasar Payang untuk keluarga. Esok bila berpagi-pagi ke gudang Yee, Nabilah nak pilih hasil laut yang segar-segar untuk mak.
Minta mak masak yang sedap-sedap. Wah, lambatnya hari Sabtu!




